Fahmi Reza direman satu hari selepas kongsi karikatur monyet berpakaian seragam istana warna kuning

AKTIVIS dan pereka grafik kontroversi, Fahmi Reza ditahan reman sehari bagi membantu siasatan polis berhubung hantaran kakikatur monyet berpakaian seragam istana berwarna kuning di Facebook miliknya, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, ketika dihubungi BH berkata mahkamah hanya membenarkan reman sehari ke atas Fahmi atau nama sebenarnya Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin, lapor Berita Harian.

Semalam, media melaporkan Fahmi, 45, ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan polis akan memohon perintah reman di mahkamah hari ini.

Terdahulu, Abd Jalil dalam satu kenyataan semalam berkata, hantaran dibuat aktivis itu mengundang kemarahan dalam kalangan warganet dan menyifatkan tindakan itu sebagai keterlaluan, selain mendapat 12,000 respons, 3,400 komen dan 966 perkongsian sejak dimuat naik.

“Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5), JSJ Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

“Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau berkata, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

Berdasarkan rekod, Fahmi juga pernah direman sehari pada April tahun lalu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menghina Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Sumber: Berita Harian