Empat gengster viral dicekup

POLIS Klang menahan seramai empat individu yang merupakan suspek kes pergaduhan yang viral di media sosial di Taman Perumahan Klang Utama melibatkan antara geng 21 dan geng 18 pada 5 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, keempat-empat individu yang ditahan telah direman bermula selama tiga hari bermula 8 Februari.

“Mereka turut mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes kekerasan, samun dan mendatangkan kecederaan dan kesemua mereka berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun,” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

VIDEO pergaduhan antara Geng 21 dan Geng 18 yang viral di media sosial.

Ketika kejadian, polis telah menerima aduan daripada seorangan individu berusia 59 tahun mendakwa anaknya ditetak sekumpulan lelaki di perkarangan rumah.

Pergaduhan difahamkan berpunca akibat tidak berpuas hati antara kedua-dua kumpulan berkenaan yang melaporkan insiden pergaduhan sehingga membawa kepada tangkapan ahli kumpulan serta dipenjarakan.

Akibat serangan, mangsa mengalami kecederaan di bahagian tangan, kepala, serta badan berikutan diserang menggunakan senjata tajam.

Setakat ini, polis masih giat memburu beberapa lagi suspek lain yang dikatakan masih bebas dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil untuk bantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 /148 Kanun Keseksaan. – TheNewsMalaysia