Pernah dilabel bohsia sebab tak pakai tudung dan kaler rambut, kisah kebangkitan ibu muda Kelantan dapat result teruk SPM sebelum berjaya masuk U ini cetus inspirasi netizen

    LUPAKAN masa silam, fokus masa depan.

    Begitulah luahan hati seorang ibu muda jelita anak satu yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan ini berhubung kisah lampaunya yang sudah lama ditinggalkan.

    Wan Nur Amirah Wan Alias, 23, yang juga penuntut bidang Psikologi dan Kaunseling di Universiti Malaya (UM) mencuri tumpuan netizen apabila berkongsi perjalanan video hidupnya menerusi akaun TikTok tiba-tiba viral, seperti mana dilaporkan mStar.

    Mesra disapa Mira, dia mengakui dirinya merupakan seorang pelajar bermasalah sehingga menerima tohmahan orang kampung sebelum perlahan-lahan berubah selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

    PERKONGSIAN Mira mengenai perubahan hidupnya secara total mencuri tumpuan netizen di TikTok. – Gambar kredit: mStar

    “Dalam kelas, biasanya saya akan dapat nombor tercorot sewaktu peperiksaan. Pelajar lelaki lagi pandai, memang rasa malu.

    “Saya malas belajar, dulu tak bertudung, rambut diwarnakan. Suka berkawan, keluar naik motor siang malam sehingga digelar bohsia oleh orang kampung. Nak bergembira sepanjang masa.

    “Masa exam SPM, saya menangis sebab tak boleh jawab subjek Fizik, tiada siapa boleh tolong. Lepas dapat keputusan 3A dan gagal masuk universiti, saya dengan sendiri nak berubah,” ujarnya kepada mStar.

    Tanpa paksaan sesiapa, wanita dari Kota Bharu, Kelantan itu menyambung pengajian ke peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) bagi mengejar impiannya untuk ke menara gading.

    Malah, dia perlahan-lahan mula bertudung dan mengubah gaya hidup untuk fokus sepenuhnya kepada pelajaran.

    “Saya tengok ramai kawan masuk universiti dengan keputusan SPM. Saya rasa malu. Saya sebenarnya dari kelas depan, aliran sains tulen.

    “Jadi saya masuk STPM. Saya rasa ada lagi peluang untuk saya. Dari situ saya mula bertudung dan betul-betul istiqamah.

    “Saya tekad nak cabar diri, belajar sepanjang masa sehinggalah akhirnya saya dapat keputusan 4.0 dan berjaya masuk universiti.

    “Saya sedih bercampur gembira sebab tak pernah banggakan mak ayah sebelum ni,” ujarnya lagi.

    PERNAH dianggap bohsia oleh orang kampung sebelum ini, siapa sangka ibu muda ini akhirnya berjaya menjejakkan kaki ke universiti.

    Ujar Mira, dia telah berkahwin dengan lelaki pilihannya sewaktu sedang mengikuti pengajian dan kini dikurniakan seorang bayi perempuan berusia setahun lapan bulan.

    Kini menetap di Petaling Jaya, Selangor, dia juga meneroka peluang baharu apabila memulakan perniagaan produk scrub jenama sendiri sambil mengikuti pengajian di UM.

    Kata Mira lagi, dia melihat TikTok sebagai satu platform yang cukup bermanfaat untuk dia memasarkan produk dan juga medium dakwah untuk berkongsi kisah inspirasinya bersama netizen.

    “Saya sekadar berkongsi kisah saya menerusi video di TikTok. Rugi orang yang tak guna TikTok. Boleh belajar memasak, tengok video dakwah, ilmu perniagaan dan sebagainya.

    “Kepada mereka di luar sana yang nak berubah, mindset sangat penting. Yang penting kita kena mulakan langkah dahulu. Jangan fikir kata-kata orang.

    “Fikir ke depan. Kenapa fikir negatif kalau boleh fikir positif?” katanya lagi.

    Sehingga kini, video penghijrahan Mira menerima lebih 65,000 tontonan di aplikasi TikTok.

    Sumber: mStar