Dua orang maut disyaki alami keracunan makanan di Gombak

Dua individu disahkan meninggal dunia disyaki akibat keracunan makanan selepas makan makanan yang dibungkus daripada sebuah program yang diadakan di sebuah sekolah di daerah Gombak, Selangor pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir, memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima laporan bagi kedua-dua kes kematian tersebut.

4-5.jpg

“Kedua-dua mangsa merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 17 tahun dan seorang bayi perempuan berusia 2 tahun.

“Mangsa lelaki tersebut mengalami keracunan makanan selepas memakan makanan yang dibawa balik oleh ibunya selepas menghadiri satu program di sebuah sekolah.

“Sementara itu, kanak-kanak perempuan tersebut pula memakan makanan yang sama yang dibawa oleh bapanya juga merupakan pengawal keselamatan di sekolah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Kedua-dua mangsa mempunyai simptom yang sama iaitu cirit-birit, demam dan tidak sedarkan diri selepas memakan makanan tersebut.

Noor Ariffin berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat kedua-dua mangsa teah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Selayang untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, polis menyeru orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta tampil membantu siasatan di mana-mana balai polis berdekatan.