Home Berita Semasa Dua anggota polis ditahan, minta wang RM200

Dua anggota polis ditahan, minta wang RM200

DUA anggota polis ditahan selepas didapati terlibat dengan aktiviti pemerasan terhadap dua individu lelaki yang didakwa telah melanggar SOP PKPD kerana menaiki kenderaan melebihi had pada awal pagi 16 Julai lalu.

Kedua-dua polis berkenaan mendakwa kesalahan itu boleh dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 bagi kesalahan tersebut.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, kedua-dua mereka masing-masing berpangkat Lans Koperal dan Konstabel dikatakan telah meminta wang imbuhan sebanyak RM200.

“Bertindak atas maklumat, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Petaling Jaya telah membuat tangkapan terhadap dua anggota polis yang bertugas dan telah merampas wang tunai RM200 disyaki hasil pemerasan terhadap pengadu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengadu yang tidak berpuas hati terhadap tindakan dua anggota polis itu turut memuat naik kenyataan di laman Twitter bagi meluahkan rasa tidak puas hati.

Mohamad Fakhrudin turut memberitahu, kedua-dua mereka akan dibawa ke mahkamah untuk proses reman.

Tegasnya, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota yang melakukan kesalahan jenayah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Exit mobile version