Ditangkap ketika leka jual mercun, dua lelaki bakal ‘beraya’ dalam lokap

POLIS Ampang Jaya menahan dua individu lelaki selepas didapati menjalankan perniagaan mercun tanpa permit di sekitar Taman Muda, Ampang Jaya sekitar jam 10 malam pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, risikan dibuat hampir 20 minit oleh sepasukan pihak polis sebelum meneruskan tangkapan.

“Ketika serbuan kedua-dua suspek didapati leka menjual pelbagai jenis mercun dan bunga api.

“Hasil pemeriksaan mendapati mereka tidak mempunyai permit menjual, memiliki dan membeli bunga api yang dikeluarkan pihak Polis Ampang Jaya,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mercun yang dijual suspek.

Dalam pada itu, pemeriksaan terhadap dua kenderaan suspek turut menemui pelbagai jenis mercun dan bunga api sebelum kesemuanya dirampas.

Menurut Mohamad Farouk, kedua-dua suspek juga masing-masing mempunyai rekod jenayah termasuk kes melibatkan dadah.

Mereka direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Peraturan 74 Peraturan-Peraturan Bahan Letupan 1923 yang boleh dihukum dibawah Peraturan 76, denda RM300 jika sabit kesalahan.

Polis menegaskan agar tiada pihak yang menjual mahupun membeli sebarang jenis mercun yang dijual tanpa permit sewaktu musim perayaan termasuk mematuhi SOP COVID-19.