Home Viral Disimbah milo ais oleh pemandu Bezza biadab, jurutol tampil dedah kisah sebenar

Disimbah milo ais oleh pemandu Bezza biadab, jurutol tampil dedah kisah sebenar

HANYA kerana tidak boleh tambah nilai kad Touch N Go, tindakan melampau seorang pemandu Perodua Bezza menyimbah air milo ais terhadap seorang jurutol Plaza Tol Lebuhraya Shah Alam (Kesas) akhirnya mengundang padah apabila dicekup polis kelmarin.

Lebih tidak masuk akal, suspek juga sebelum itu sanggup berpatah balik ke pondok tol berkenaan hanya semata-mata mahu menyimbah air milo ais gara-gara tidak berpuas hati terhadap mangsa.

Mengimbau semula kejadian itu, jurutol terbabit yang dikenali sebagai Faten Syafiqah memberitahu, pada mulanya lelaki berkenaan tersalah masuk lorong tol dan tidak dibenarkan membuat transaksi tambah nilai kira-kira pukul 7 pagi kelmarin.

Faten menceritakan semula kejadian itu di Insta Story miliknya.

“Tetapi dia nak juga top up dan dia kata, sebelum masuk tol dia dah baca signboard,” ceritanya.

Faten turut memberi pilihan untuk lelaki itu membayar RM2.

“So Faten cakap, kalau encik nak, encik kena parking kereta kat sini, jalan pergi lorong tambah nilai. Dia tidak puas hati, dia keluar kereta tengok keadaan dalam pondok dan berkata, biasa lorong tambah nilai belah hujung.

“Dia dah top up semua dan jalan, ingatkan dah settle, rupanya pukul 9.20 pagi dia lalu sekali lagi dengan membawa air milo ais. Dia minum sambil bercakap, lain kali jangan suka-suka nak kenakan orang, terus dia simbah,” cerita Faten di Insta Story miliknya.

Tangkap layar yang menunjukkan tindakan biadab suspek menyimbah air milo ais kepada jurutol Kesas terbabit.

Dalam pada itu, polis mengesahkan lelaki terbabit telah ditahan bagi membantu siasatan kelmarin.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, lelaki berusia 30-an itu ditahan susulan laporan yang dibuat mangsa.

“Kejadian itu berlaku pada 7 pagi ketika mangsa bertugas di Plaza Tol Kesas dari Puchong menghala ke USJ didatangi suspek yang memandu Perodua Bezza masuk ke lorong tol dan mahu membuat tambah nilai.

“Bagaimanapun, mangsa memaklumkan bahawa tambah nilai hanya boleh dibuat di lorong bersebelahan dan suspek ke lorong seperti disyorkan sebelum berlalu pergi.

“Suspek kemudiannya datang semula ke tempat mangsa bertugas dan memarahi serta menyimbah air minuman ke arah mangsa sebelum beredar,” katanya kepada Harian Metro.

Risikin berkata, mangsa yang takut dengan ugutan suspek tampil membuat laporan pada 4.25 petang.

“Bertindak atas laporan berkenaan sepasukan polis yang menjalankan siasatan mengesan suspek dan berjaya menahannya,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Terdahulu semalam, viral di media sosial satu rakaman kamera litar tertutup berdurasi 51 saat yang menunjukkan seorang lelaki menaiki kereta Perodua Bezza bertindak keluar sebelum menyimbah air minuman kepada jurutol itu.

Sumber: Harian Metro

Exit mobile version