Dera isteri kerana mas kahwin sehingga isteri bunuh diri, lelaki India akhirnya dipenjara 10 tahun

Dera isteri kerana mas kahwin sehingga isteri bunuh diri, lelaki India akhirnya dipenjara 10 tahun
FOTO: onmanorama

SEORANG lelaki di India dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan denda sebanyak Rs 12.55 lakh (RM 70,792) sebuah mahkamah di India Selatan apabila didapati bersalah mendera isterinya gara-gara isu mas kahiwn sehingga mangsa nekad membunuh diri.

Mahkamah daerah di negeri Kerala mendapati tertuduh, Kiran Kumar bersalah di bawah undang-undang ‘kematian berkaitan mas kahwin’ India, lapor Kosmo.

Undang-undang itu membenarkan pertuduhan dikenakan terhadap individu yang menyebabkan kematian seorang wanita dalam tempoh tujuh tahun pertama perkahwinan melibatkan hadiah dan bayaran mas kahwin.

Mas kahwin di India adalah hadiah yang diberikan oleh pengantin perempuan kepada keluarga pengantin lelaki.

Tertuduh bagaimanapun tidak mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Kiran telah berkahwin dengan isterinya, Vismaya Nair selama lebih setahun.

Mangsa ditemui meninggal dunia di dalam bilik air di rumah keluarganya di Kerala pada Jun tahun lalu.

Keluarga Vismaya bersetuju untuk memberikan Kiran satu ekar tanah, 100 syiling emas, dan sebuah kereta sebagai mas kahwin. 

Tertuduh bagaimanapun tidak berpuas hati dengan model kenderaan itu dan menuntut diberikan lebih banyak wang, demikian menurut dokumen mahkamah. 

Tertuduh secara fizikal dan lisan telah menganiaya Vismaya, kata hakim. 

“Dia (mangsa) telah kehilangan semua harapan untuk hidup. Dia sangat terdesak. 

“Perasaan putus asa menyelubungi dirinya. Dia telah dihina dengan teruk kerana mas kahwin sebelum membunuh diri,” jelas hakim.

Sumber: Kosmo