Jabatan Pemilihan Parti, Parti Keadilan Rakyat (JPP) hari ini mengumumkan secara rasmi Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin telah dipilih sebagai Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Hang Tuah Jaya untuk sesi 2025-2028 dalam pemilihan yang berlangsung pada 12 April 2025.
Kemenangan ini mencerminkan kepercayaan dan sokongan padu daripada majoriti anggota parti terhadap kepimpinan beliau dan pasukan #keadilanmemimpin.
Kami ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan penghargaan kepada seluruh anggota parti yang telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam menjayakan pesta demokrasi KEADILAN.
Pengalaman dan Komitmen
Datuk Seri Shamsul Iskandar merupakan seorang pemimpin yang tidak asing lagi dengan pengundi di Hang Tuah Jaya. Kemenangan beliau ibarat sirih pulang ke gagang. Beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam arena politik, termasuk pernah diberikan amanah sebagai Timbalan Menteri Industri Utama.
Beliau sebelum ini merupakan Ketua Cabang KEADILAN Jasin sebermula tahun 2004. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai ahli parlimen Bukit Katil dan juga Hang Tuah Jaya.
Kami percaya bahawa tugas utama beliau ialah untuk segera menyusun organisasi Keadilan Hang Tuah Jaya dan melakukan persiapan awal untuk berdepan dengan pilihanraya negeri Melaka yang dijangka akan diadakan pada tahun hadapan.
Tentunya semangat kerajaan madani di peringkat persekutuan akan diterjemahkan dengan memperkukuh kerjasama dengan parti-parti komponen di negeri Melaka.
Kami juga mengharapkan agar kesemua anggota parti akan bergabung tenaga dengan kepimpinan yang baru dalam memastikan KEADILAN terus bergerak seiring dan senada dalam melakukan perubahan dan berkhidmat kepada rakyat.
Sesungguhnya kepimpinan itu merupakan tanggungjawab dan bukannya suatu kemegahan.