Denden Gonjalez bangga jadi saksi kebangkitan Search, sebak momen Kid & Din berpelukan

Denden Gonjalez bangga jadi saksi kebangkitan Search, sebak momen Kid & Din berpelukan

MOMEN terindah… Itu bayangan ringkas vokalis kumpulan Search, Denden Gonjalez apabila menjadi saksi pelukan penuh emosi antara Hamzan Mohd Taib atau Kid bersama Din.

Denden, 39, melalui perkongsian di laman sosialnya berkata ia merupakan penanda aras kebangkitan semula kumpulan rock legenda itu.

“Sebuah moment indah terlihat selesai konsert Search Rockin’ On Rooftop apabila abang Din dan abang Kid berpelukan gembira dan bercampur sedih.

“Ini merupakan penanda aras kebangkitan semula Search!! Gitaris dua beradik ini telah melalui pahit dan manis dalam memperjuangkan muzik rock and roll di Nusantara,” tulisnya.

Anak kelahiran Indonesia ini turut menyatakan rasa syukur dan berbangga dapat menjadi sebahagian daripada sejarah konsert yang berlangsung pada di bumbung Kompleks Campbell, Kuala Lumpur, malam tadi.

“Saya merasa sangat bangga apabila dapat menjadi sebahagian daripada sejarah band nombor satu di Malaysia bahkan nombor satu di Nusantara suatu ketika dahulu,” tulisnya lagi.

Konsert Search Rockin’ On Rooftop dibanjiri lebih 3,000 penonton biarpun ia bermula setengah jam lewat akibat hujan lebat yang melanda.

Konsert yang mengembalikan kegemilangan muzik rock and roll itu turut melihat kehadiran peminat tegar kumpulan berusia lebih empat dekat itu yang datang dari Singapura dan Indonesia.

Search yang dibarisi Din (pemain gitar), Yan (bass) dan Minn (dram) dan Denden sebagai vokalis mula menghangatkan suasana dengan lagu Bencana, Metropolitan dan Pasti.

Kualiti vokal bernada tinggi Denden juga memukau peminat sebaik sahaja persembahan bermula.

Lontaran vokal bernada tinggi yang padu daripada vokalis Denden Gonzales membuka tirai persembahan dan terus menghangatkan suasana bagaikan hujan tidak pernah melewati Kompleks Campbell sebelum itu.

Persembahan semakin ‘menggila’ dengan lagu Purnama, Melastik Ke Bintang dan Di Pintu Sepi.

Konsert pastinya menjadi satu kenangan terindah dengan kemunculan Ratu Rock, Ella  yang mempersembahkan dua lagu iaitu Melayar Bahtera dan Bayangan iaitu duet bersama Denden.

Search menyampaikan keseluruhan 17 buah lagu buat peminat.

Kumpulan legenda ini ditubuhkan lebih empat dekad sejak 1981 kini berpecah dua gara-gara konflik dalaman kumpulan itu.

Terdahulu, konsert Search Endemik yang dibarisi Amy (vokalis), Nasir Daud (pemain bass), Man Kidal dan Hillary Ang (gitaris) telah terlebih dahulu diadakan bertempat di Zep Hall, Kuala Lumpur pada 4 dan 5 Jun lalu.