Demi RM2,500 remaja tidak bersekolah sanggup sertai sindiket penipuan

SEORANG remaja lelaki 15 tahun yang tidak lagi bersekolah sanggup menyertai sindiket penipuan di Facebook dan turut menyamar bagi mendapatkan habuan RM2,500 sebulan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay malah turut mendedahkan ahli sindiket yang dikatakan meraih keuntungan secara komisen hasil daripada penipuan.

Menurutnya, remaja berkenaan merupakan sebahagian daripada 18 ahli sindiket yang terdiri daripada 15 lelaki dan tiga perempuan yang ditahan di Kempas dan Setia Indah, dari jam 4.15 petang sehingga 10 malam semalam.

“Hasil siasatan awal mendapati sindiket itu menipu mangsa dengan menyamar sebagai kenalan dan ahli keluarga melalui panggilan telefon dan WhatsApp.

“Setelah mangsa membuat semakan semula dengan mereka (rakan dan ahli keluarga sebenar), barulah mangsa sedar telah ditipu dan mengalami kerugian,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini.

Polis turut merampas 60 unit telefon bimbit, buku nota, skrip perbualan, serta 17 kad mesin ATM sebagai peralatan sindiket.

Kesemua mereka direman selama empat hari untuk siasatan lanjut.

Ayob Khan memaklumkan, sebanyak 48 kes penipuan dilaporkan bagi tempoh bermula awal tahun sehingga Februari dengan jumlah kerugian sebanyak RM398,000.