Degil tak pakai face mask? Nah baca Yasin

DIDENDA baca surah Yasin dan disuruh melaungkan azan gara-gara berdegil tidak memakai face mask di tempat awam.

Orang ramai yang didapati tidak memakai pelitup muka semasa di tempat awam dikenakan denda membaca surah Yasin di bandar Cilegon, wilayah Banten di Indonesia.

Ketua Polis Cilegon, Kompol Jajang Mulyanan berkata, ia dilaksanakan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat supaya sentiasa mematuhi garis panduan kesihatan yang ditetapkan.

“Di samping memupuk kesedaran mengenai bahaya COVID-19, secara tidak langsung kita dapat mendoakan supaya penularan virus ini segera berakhir.

“Ada juga individu yang mengingkari arahan pemakaian pelitup muka ini kita arahkan supaya melaungkan azan,” katanya.

Tambah beliau, sebelum membaca surah Yasin, pesalah turut dikehendaki mengambil wuduk bagi menyucikan diri terlebih dulu.

Ada juga individu yang mengingkari arahan diarah untuk melaungkan azan.

“Ini bukan saja untuk menyucikan diri, malah selari dengan garis panduan kesihatan COVID-19 iaitu menjaga kebersihan diri dengan mencuci tangan,” katanya.

Selesai membaca surah Yasin, mereka dikehendaki menandatangani surat perjanjian akan mematuhi pemakaian pelitup muka ketika berada di luar rumah.

Tambah Kompol Jajang, pihaknya akan mengadakan operasi tiga kali sehari di beberapa tempat tumpuan orang awam.

Sementara itu, seorang pesalah yang didenda, Yudi me­ngakui terlupa membawa pelitup muka bersamanya kerana terburu-buru pergi ke pasar.

“Saya terlupa membawa pelitup muka kerana hendak cepat ke pasar membeli barang keperluan.

“Saya telah sedar dan akan sentiasa ingat untuk memakai pelitup muka jika hendak keluar rumah selepas ini,” ujarnya.

Sumber: Berita Harian