Degil buka gim, pemilik premis dikompaun RM10,000 bersama empat pelanggan masing-masing RM2,000

DISEBABKAN kedegilan, seorang pemilik pusat gimnasium di Butterworth dikompaun RM10, 000 manakala empat pelanggannya dikompaun RM2,000 setiap seorang selepas didapati beroperasi dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata ketika pemeriksaan Op Pematuhan SOP PKP 3.0 dibuat sekitar jam 5.40 petang Selasa terdapat enam individu yang berada di dalam premis berkenaan di Jalan Bagan Luar, Butterworth.

Pemilik premis berusia 58 tahun didapati gagal mematuhi garis SOP yang ditetapkan apabila tetap menjalankan perniagaan bukan perkhidmatan perlu tanpa kebenaran serta melakukan aktiviti dilarang semasa tempoh PKP.

Selain itu, terdapat lima lelaki berusia di antara 36 hingga 52 tahun sedang bermain gim didapati gagal mematuhi arahan yang ditetapkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan dan dikenakan kompaun.

Manakala, seorang pelajar sekolah yang turut berada di premis tidak akan dikenakan tindakan.

Noorzainy berkata tindakan kompaun diambil mengikut Peraturan PU(A) 265, Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (NO.3) 2021, manakala remaja yang juga pelajar sekolah itu hanya diberi amaran sahaja.

Sumber: Awani