Patutlah Datuk Seri boleh lompat pagar SPRM, ada bodyguard tolong rupanya

MISTERI tanda tanya netizen berhubung kehilangan suspek utama bergelar Datuk Seri yang disiasat berhubung kes pengubahan wang haram Macau Scam sebaik dibebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Isnin lepas akhirnya terjawab.

Rupa-rupanya, Datuk Seri terbabit bukan melarikan diri bersendirian sebaliknya didapati dibantu dua pengawal peribadi ketika memanjat pagar belakang bangunan ibu pejabat SPRM itu baru-baru ini.

Sumber SPRM berkata, pada 11 Oktober lalu, sembilan suspek yang dilepas reman, dibawa balik ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk proses dokumentasi jaminan.

Bangunan SPRM di Putrajaya.

Sumber itu berkata, apabila tiba di pejabat SPRM, kelihatan ramai pegawai polis berkumpul di lobi utama.

“Ini menyebabkan kesemua suspek tidak mahu keluar dari kenderaan masing-masing. Ada dalam kalangan ahli keluarga suspek juga hadir untuk proses jaminan.

“Terdapat kekecohan berlaku di lobi utama bangunan SPRM bila kesemua OKT (orang kena tahan) enggan turun dari kenderaan kerana kehadiran anggota polis yang ramai di lobi Ibu Pejabat SPRM,” kata sumber itu kepada Harian Metro.

Menurutnya, hasil perbincangan antara SPRM, polis dan peguam yang hadir, pihak polis akur dan bersetuju untuk menunggu di pintu utama luar pejabat SPRM.

“Selepas selesai proses dokumentasi jaminan, kesemua OKT dibebaskan dan menaiki kenderaan masing-masing keluar dari ibu pejabat SPRM.

“Terdapat empat kenderaan model Toyota Vellfire memasuki Ibu Pejabat SPRM bagi menjemput saspek yang melarikan diri itu.

“Setiap kenderaan yang melalui pintu pagar utama ditahan polis dan suspek ditangkap semula polis.

“Walau bagaimanapun, salah seorang seorang suspek yang telah dibebaskan dengan jaminan, diserahkan SPRM kepada peguam beliau, “katanya.

Menurutnya, suspek terbabit kemudian masuk ke dalam Toyota Vellfire bersama-sama peguam, pengawal peribadi dan pemandu.

“Suspek sememangnya telah masuk ke dalam kenderaan dan dilihat menuju ke pintu pagar utama.

“Walau bagaimanapun dalam pergerakan antara pintu lobi dan pagar utama, beliau dipercayai bertindak keluar dari kenderaan dan melarikan diri di pagar sisi (berdekatan pintu belakang bangunan SPRM) dengan dibantu dua lagi pengawal peribadi yang bersedia untuk membantu beliau memanjat pagar dan meloloskan diri daripada tangkapan polis.

“Apabila pihak polis menahan Toyota Vellfire yang melalui pintu pagar utama, baru disedari suspek terbabit sudah melarikan diri.

“Hasil semakan CCTV mendapati suspek memanjat pagar dengan bantuan dua bodyguard (pengawal peribadi).

“Sebuah kereta Perodua Myvi dilihat menunggu di tepi jalan dan bertindak melarikan suspek,” katanya.

Sumber: Harian Metro