Datang nak ‘join’ kongsi gelap, ‘last-last’ kena tangkap polis!

HASRAT 40 individu ingin menyertai kumpulan kongsi gelap tidak kesampaian apabila diserbu polis di sebuah restoran mewah di Seberang Jaya, Pulau Pinang. 

Ketika serbuan, kesemua mereka sedang sibuk melakukan sesi pengenalan dan pendaftaran ahli baru. 

Serbuan di lakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang pada Sabtu malam lalu. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais memaklumkan mereka yang ditahan berusia 22 hingga 56 tahun berasal dari Pulau Pinang, Kedah dan Perlis. 

Kesemua mereka sedang sibuk melakukan sesi pengenalan dan pendaftaran ahli baru. 

Hasil siasatan, kumpulan berkenaan didapati berselindung di sebalik sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO). 

“Pemeriksaan mendapati lapan daripada lelaki yang ditahan mempunyai tatu sebuah pertubuhan haram 

“Selain itu, pihak polis turut merampas 56 buah telefon bimbit, 2 bentuk cincin, seutas rantai serta sepasang subang yang mempunyai lambang sebuah pertubuhan haram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang dan direman untuk tindakan lanjut. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 (Kesalahan menganggotai pertubuhan yang menyalahi Undang-Undang). 

Sabit kesalahan boleh dikenakan penjara tidak lebih dari 3 tahun atau denda tidak lebih daripada RM5,000 atau kedua-duanya.