Dakwaan milik saham luar biasa, Azam Baki lega siasatan ditutup

Foto: Bernama

KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bersyukur terhadap keputusan yang dibuat Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Kenyataan itu merujuk kepada dakwaan Azam Baki yang dikatakan memiliki saham luar biasa.

“Alhamdulillah, saya melahirkan rasa syukur di atas keputusan yang dibuat oleh SC yang telah mendapati tiada kesalahan yang dilakukan oleh saya.

“Saya telah dimaklumkan oleh pihak SC bahawa siasatan terhadap perkara itu telah dimuktamadkan.

“Oleh yang demikian, pihak SC telah menutup fail inkuiri tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegasnya, beliau akan terus fokus terhadap perkhidmatannya untuk terus membanteras gejala rasuah di negara ini tanpa mengira latar belakang seseorang individu.

SC menerusi kenyataan dikeluarkan hari ini menyatakan tiada sebarang bukti menunjukkan pelanggaran undang-undang bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti berhubung isu pemilikan saham Azam dan menamatkan inkuiri.