Dakwaan Klang sebagai bandar tidak selamat palsu – Ketua Polis Selangor

Foto: Ibn Rashid

POLIS Selangor menafikan dakwaan bandar Klang sebagai lokasi yang paling tidak selamat bagi kawasan Asia Tenggara seperti yang didakwa laman sesawang “Numeo’’.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kenyataan yang dibuat laman sesawang berkenaan merupakan satu perkara yang mengelirukan dan tidak benar sama sekali.

“Maklumat yang terkandung dalam artikel yang diterbitkan Numbeo berkaitan indeks jenayah dan indeks keselamatan tidak dapat dipastikan kesahihan dan sumbernya.

“Kaedah kajian dan secara kualitatif dan kuantitatif serta bilangan responden juga tidak menggambarkan atau mewakili keseluruhan masyarakat di daerah Klang, Selangor,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambahnya lagi, kadar indeks jenayah di daerah Klang masih dalam keadaan terkawal dan berada di paras rendah.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan laporan tersebut susulan ia tidak menggambarkan statistik serta fakta yang sebenar.