Dakwa berhubung dengan Allah, Polis tahan Ketua Ajaran ‘Perjalanan Mimpi Yang Terakhir’

POLIS telah menahan seorang wanita berusia 39 tahun yang dipercayai merupakan Ketua Ajaran Sesat yang dikenali sebagai ‘Perjalanan Mimpi Yang Terakhir’ (PMYT) pada awal pagi hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintenden Basri Sagoni berkata, polis telah menerima enam laporan polis melibatkan isu ajaran sesat berkenaan.

“Sebelum ini suspek membuat penafian akan kewujudan ajaran sesat yang bertentangan dengan ajaran Islam.

“Suspek menafikan semua tuduhan termasuk tindakan mengancam keselamatan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, polis turut membuat beberapa rampasan antaranya lima telefon bimbit, kad akaun bank serta resit pemindahan wang berjumlah RM84,721 yang dipindahkan ke akaun tempatan.

Pada 29 Ogos lalu, polis menerima aduan seorang lelaki berhubung satu video yang dikatakan telah menghina agama Islam dan menimbulkan kebimbangan awam.

Laporan tersebut dibuat selepas pengadu melihat video berdurasi 1 jam 11 minit yang bertajuk “Mimpi Perang Dunia (Bertemu Rasulullah” yang disiarkan menerusi YouTube.

Video berkenaan yang menceritakan tentang seorang wanita bercakap mengenai mimpi kejadian Perang Dunia Ketiga yang akan berlaku di Sabah itu telah mendapat 50,000 tontonan serta 511 komen.

Ajaran PMYT itu dikatakan aktif di media sosial mengenai peperangan ketiga selain wanita tersebut mendakwa dirinya mampu berhubung terus dengan Allah SWT, Malaikat, dan Nabi Muhammad SAW.

Menerusi video berkenaan juga, wanita tersebut mendakwa ajaran itu telah diturunkan kepadanya sebagai panduan bagi umat lain.

Tidak cukup dengan itu, suspek juga menyatakan sesiapa yang menghalang ajarannya bakal dicabut nyawanya oleh Allah SWT.

Kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan atas kesalahan menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemuliharaan keadaan harmoni atau perpaduan, atas alasan agama dan menyebarkan berita palsu.

Siasatan turut dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain.

Permohonan reman terhadap suspek telah diluluskan selama empat hari bermula 7 September di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.