Dah! Tesla bakal buka ibu pejabat di Malaysia

SYARIKAT pengeluar kereta elektrik Tesla akan membuka sebuah ibu pejabat, di samping memperkenalkan Pusat Pengalaman dan Pusat Servis Tesla serta mewujudkan rangkaian pengecas Supercharger di Malaysia.

Perkara ini disahkan selepas permohonan Tesla untuk mengimport Bateri Kenderaan Elektrik (BEV) ke Malaysia telah diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata bahawa kehadiran syarikat pengeluar kereta elektrik tersebut di Malaysia dijangka mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi segmen BEV selain meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam ekosistem Tesla di peringkat domestik dan global.

“Kami gembira dengan keputusan Tesla untuk turut serta dalam ekosistem kenderaan elektrik (EV) di Malaysia. Ini secara langsung membuktikan keyakinan Tesla terhadap asas ekonomi dan persekitaran perniagaan yang kondusif di negara ini,” jelas Menteri tersebut dalam kenyataan beliau kepada Buletin TV3.

“Ekosistem elektrik dan elektronik (E&E) akan dimanfaatkan secara strategik bagi menjadikan Malaysia salah satu destinasi pelaburan pilihan bagi teknologi berkaitan mobiliti elektrik,” ujarnya.

MITI mempermudahkan kemasukan Tesla ke Malaysia melalui pengenalan inisiatif ‘BEV Global Leaders’ yang bertujuan untuk meningkatkan permintaan BEV dalam pasaran tempatan dan menggalakkan pembangunan ekosistem untuk menyokong penggunaan BEV di samping mendapatkan lebih banyak pelaburan daripada syarikat pengeluar BEV global terkemuka di Malaysia.

Sumber gambar – www.tesla.com | Sumber laporan – Buletin TV3