Chelsea perlukan masa – Lampard

PENGURUS Chelsea, Frank Lampard akur skuad kendaliannya masih memerlukan masa untuk merapatkan jurang dengan Liverpool di puncak Liga Perdana England selepas tewas 2-0 di tangan juara bertahan itu awal pagi tadi.

Sadio Mane meledak kedua-dua gol dalam tempoh empat minit di awal babak kedua untuk skuad kendalian Jurgen Klopp selepas menyebabkan layangan kad merah ke atas Andreas Christensen di babak pertama.

Mane menjaringkan dua gol malam tadi.

Chelsea berbelanja besar dalam pasaran perpindahan untuk memperkuat jentera serangan tetapi gagal menangani masalah lebih penting di bahagian pertahanan.

Lampard hanya mampu menurunkan dua pemain baharunya, Timo Werner dan Kai Havertz dalam kesebelasan utama, dengan Ben Chilwell dan Hakim Ziyech cedera manakala bek tengah Thiago Silva belum cergas.

“Semua pasukan yang berjaya memerlukan masa, melalui proses dan proses kami bermula di sini. Bukan dari tahun lalu.

“Tahun lalu kami tidak boleh berbuat apa-apa (akibat larangan perpindahan) jadi kami bekerja keras sehingga mendapat tempat keempat.

“Matlamat dan jangkaan kami lebih tinggi, tetapi ia memerlukan masa,” kata Lampard.

Lampard perlukan lebih masa.

Kemenangan meletakkan Liverpool dalam kelompok teratas bersama Everton, Arsenal dan Crystal Palace yang mengumpul mata penuh selepas dua perlawanan.

Lampard juga mempertahankan kesilapan penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga dalam perlawanan itu, sebaliknya percaya anak-anak buahnya mampu beraksi dengan lebih baik jika Christensen tidak dilayangkan kad merah oleh pengadil, Paul Tierney.

“Inilah bola sepak. Saya tidak mahu berada di sini untuk terus memikirkan sama ada ia kad merah ataupun tidak,” kata Lampard.

Rakan sejawatannya di Liverpool, Jurgen Klopp pula memuji barisan pemainnya yang mempamer aksi konsisten sebelum Christensen dilayangkan kad merah lagi.

“Inilah yang perlu kami pamerkan sepanjang masa. Amat penting untuk kami mempamerkan kemampuan sebenar dan saya dapat menyaksikannya pada perlawanan hari ini,” katanya. – AFP

Sumber: Berita Harian