Carian untuk ‘Melaka’ melonjak di WeChat selepas Fan Bingbing menjadi duta pelancongan Melaka.

KUALA LUMPUR: Pemilihan Fan Bingbing sebagai Duta Setiakawan Pelancongan Melaka nampak berkesan, berikutan negeri itu menjadi ‘trending’ di media sosial China dengan carian berkaitan terma itu melonjak dengan ketara.

Menurut pengurus perhubungan awam Fan, Jersey Chong, carian untuk “Melaka” direkodkan lebih 320 juta dalam tempoh dua hari berdasarkan statistik terkini daripada WeChat China. Pada 14 Jun, “Fan Bingbing” memperoleh 334,883,965 carian, diikuti “Melaka” dengan 165,082,653 carian. Sementara itu, pada 15 Jun, “Fan Bingbing” mempunyai 461,138,243 carian dan “Melaka” mempunyai 161,972,679 carian.

“Sebagai perbandingan, carian untuk ‘Festival Filem Antarabangsa Shanghai’ mempunyai 2,280,795 di WeChat, manakala ‘Majlis Anugerah Filem Weibo 2024’ memperoleh 3,472,115 dalam tempoh yang sama,” katanya dalam catatan Facebook.

Fan, yang mempunyai 63 juta pengikut di Weibo (platform media sosial di China setaraf dengan X) dan 4.1 juta pengikut di Instagram, sering digambarkan sebagai wajah budaya China di pentas global. Beliau pernah membintangi filem adiwira Hollywood ‘X-Men: Days of Future Past’ serta filem Perancis dan Korea Selatan.

Pada 2017, Fan menghiasi muka depan majalah Time dan dinamakan sebagai salah seorang daripada 100 Orang Paling Berpengaruh. Beliau dilantik untuk mempromosikan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) dan berada di negeri itu untuk lawatan mulai 14 Jun sebagai sebahagian daripada kempen yang bertujuan mempromosikan Melaka sebagai destinasi ideal untuk pelancong.