Cabul anak rakan sekerja dalam stor masjid

GILA seks tak kira tempat. Seorang tukang cuci mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Terengganu semalam kerana melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, lapor Harian Metro.

Tertuduh, Abu Saman Mohd Zin, 58, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dalam sebuah bilik stor di sebuah masjid di daerah ini pada 10.30 pagi, 16 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 11 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk fakta dan hukuman.

Tiada sebarang jaminan ditawarkan terhadap tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd Izzat Wan Abdullah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam kejadian itu, perbuatan tertuduh disedari pengawal keselamatan yang keselamatan yang bertugas sebelum memaklumkan kejadian itu kepada pihak pengurusan masjid.

Mangsa dikatakan ke masjid berkenaan bersama bapa saudaranya yang juga rakan sekerja tertuduh.

Sumber: Harian Metro