Bukan satu, tapi 16 Pesawat PLAAF milik Tentera Udara China dikesan masuk ruang udara Malaysia

TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) mendedahkan kemasukan 16 pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) yang memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM), Kota Kinabalu FIR dan menghampiri ruang udara nasional semalam.

Menurut Panglima Tentera Udara (PTU) Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad, kesemua pesawat PLAAF itu dikesan Radar Pertahanan Udara TUDM di Sarawak pada jam 11.53 pagi dan terbang secara formasi taktikal.

“Formasi panjang itu juga terbang dengan paten dan haluan yang sama menggunakan satu titik laluan masuk dan keluar.

“Mereka kemudiannya didapati mengubah arah penerbangan di ruang udara Beting Patinggi Ali yang berkepentingan kepada negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya lagi, pesawat berkenaan berada pada ketinggian antara 23,000 kaki sehingga 27,000 kaki dengan kelajuan 290 knots melalui Singapore FIR sebelum memasuki ruang udara ZMM, Kota Kinabalu FIR.

Pesawat itu kemudiannya dikatakan menghala menghampiri 60 batu nautika daripada pesisir pantai Wilayah Sarawak yang dikhuatiri akan mengancam kedaulatan negara.

“Pihak TUDM meletakkan pesawat Hawk 208 daripada No. 6 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan di dalam keadaan siap sedia melalui Operasi Curiga TUDM.

“Pemantauan menerusi radar pertahanan udara diteruskan ke atas pesawat itu di samping beberapa percubaan untuk mengarahkan mereka menghubungi kawalan trafik udara KK FIR,” katanya.

Malah, arahan yang dikeluarkan pihak TUDM tidak dipatuhi dan kesemua pesawat tersebut telah melangkaui sempadan Kota Kinabalu menuju ke ruang udara nasional.

TUDM membuat keputusan untuk mengerahkan pesawat pemintas bagi melakukan pengecaman pada jam 1.33 tengah hari.

“Hasil daripada pemintasan udara yang dilaksanakan, TUDM mengenalpasti pesawat itu adalah daripada jenis Ilyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20.

“Pesawat jenis ini adalah pesawat pengangkut strategik dan berupaya melaksanakan pelbagai misi,” katanya.

Insiden yang berlaku merupakan satu perkara yang serius ujar Ackbal yang jelas mampu mengancam kedaulatan dan keselamatan negara.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, perkara itu telah dimaklumkan kepada pihak Kementerian Luar Negeri melalui Kementerian Pertahanan.