Bicara Najib: Sabitan dan hukuman terhadap Najib dikekalkan

MAHKAMAH Rayuan hari ini memutuskan hukuman serta sabitan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dikekalkan.

Keputusan itu merujuk kepada hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta berkaitan penyelewengan RM42 juta melibatkan dana syarikat SRC International Sdn Bhd.

Prosiding hari ini terdiri daripada panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Keputusan itu dibuat setelah kesemua mereka mendapati Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang betul dan tidak terkhilaf apabila mensabitkan Najib terhadap tuduhan berkenaan.

Mengulas lanjut, Abdul Karim menyatakan wang yang dipindahkan dalam akaun Najib adalah hasil daripada aktiviti haram dan perayu mengetahui mengenai kemasukan wang daripada dana SRC dalam akaunnya.

Najib, 68, memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lalu, yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atasnya selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan, membabitkan RM42 juta dana SRC.

Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Najib bagi setiap tuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram (masing-masing tiga tuduhan) serta penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun, bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Bagaimanapun, beliau hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun selepas hakim itu memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak.