Biasa dengan iklan “Hye, Im an old money collector”? Remaja wanita rugi RM5,250 ditipu

SEORANG pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) swasta hangus wang RM5,250 akibat ditipu sindiket penjualan duit syiling lama. 

Semua itu terjadi apabila mangsa menerima tawaran RM80,000 untuk pembelian wang lama berkenaan menerusi laman sosial Instagram milik seorang suspek warga asing. 

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, mangsa telah bersetuju dengan tawaran tersebut selain suspek turut bersetuju membuat transaksi tersebut.

Perkara itu membuatkan mangsa dengan mudah memberi nombor akaun bank namun sebaliknya ia adalah sebahagian daripada helah suspek untuk melakukan penipuan. 

“Pada awalnya, suspek yang mendakwa telah memasukkan wang tersebut, meminta mangsa memasukkan wang sebanyak RM800 sebagai caj transaksi, namun demikian mangsa hanya memasukkan RM100 ke dalam akaun seorang lelaki tempatan dipercayai keldai akaun, atas alasan tidak mempunyai wang sebanyak itu.

“Tidak puas hati dengan jumlah yang dimasukkan, suspek sering kali menghubungi mangsa dan memaksanya memasukkan lagi wang dengan alasan mangsa akan menerima RM80,000,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Tambah Ezanee, secara keseluruhannya, mangsa yang berusia 18 tahun itu telah melakukan tujuh transaksi sehingga membawa kepada jumlah terbabit. 

Mangsa yang menyedari dirinya ditipu apabila suspek tidak lagi dengan matlamat asal untuk membeli wang syiling lama berkenaan.