Berhibur dan positif dadah, empat anggota polis ditukar tugas

Gambar Hiasan: Background photo created by bedneyimages - www.freepik.com

SERAMAI empat orang anggota polis yang ditahan dalam serbuan di pusat hiburan di Klang pada 11 September lalu ditukarkan tugas sementara menantikan laporan penuh berhubung penyalahgunaan dadah. 

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, tindakan yang diambil itu bukan lagi perkara yang asing. 

“Mereka ini automatik telah ditukarkan tugas selain tindakan tatatertib. Tindakan lain seperti kesalahan tidak patuh prosedur operasi standard (SOP) iaitu kompaun sudah dikenakan. 

“Bagi kesalahan penyalahgunaan dadah, kita akan ambil tindakan selepas kita menerima keputusan laporan daripada pakar,” katanya ketika ditemui sewaktu membuat tinjauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Pantai Bagan Lalang. 

Tegasnya, PDRM tidak akan sesekali memberi perlindungan serta berkompromi dengan mana-mana anggota yang terlibat dengan kesalahan. 

Ini termasuk tindakan yang bakal diambil terhadap anggota yang didapati melakukan pelanggaran undang-undang. 

Pada 12 September lalu, empat anggota yang bertugas di Selangor antara 35 individu yang ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Klang pada 11 September.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad berkata, serbuan kira-kira jam 2 pagi itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota JIPS Bukit Aman bertindak atas maklumat berlakunya aktiviti hiburan, pelacuran dan pengambilan dadah. 

Ujian awal saringan air kencing mendapati seramai 19 individu positif dadah termasuk empat anggota terbabit.