Bergaduh berebut perempuan guna pedang samurai

- Gambar kredit: Harian Metro

MACAM budak-budak. Gara-gara berebut perempuan, sembilan lelaki bergaduh di Plaza Chong Lin, Green Road, Kuching, Sarawak kelmarin menggunakan senjata tajam dan rotan, lapor Harian Metro.

Bagaimanapun semua suspek berjaya dikesan dan ditahan polis dalam beberapa siri tangkapan di sekitar Kuching dan Padawan malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata, polis melancarkan operasi bagi menjejaki dan menahan semua suspek selepas menerima laporan.

“Tangkapan pertama dilakukan jam 12.14 tengah malam tadi. Mereka ditahan di sekitar Kuching dan Padawan.

“Beberapa peralatan yang digunakan termasuk dua kereta turut dirampas,” katanya dalam kenyataan seperti dilaporkan Harian Metro.

Katanya, semua suspek lelaki berumur antara 20 hingga 35 tahun itu akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Dalam kejadian sekitar jam 5 petang kelmarin, berlaku rusuhan antara dua kumpulan lelaki yang disyaki berpunca daripada seorang wanita dan perasaan tidak puas hati.

Dalam kejadian itu masing masing bersenjatakan parang, rotan dan pedang samurai.

Sumber: Harian Metro