Bengang bayar ansuran kereta sendirian, lelaki bakar kereta dan buat laporan palsu

TIDAK puas hati kerana terpaksa menanggung bayaran insuran kereta secara bersendirian, seorang lelaki nekad membakar kenderaan tersebut dan membuat laporan palsu.

Sebelum itu, si pelaku telah membuat laporan polis kononnya kenderaan tersebut yang diletakkan di tempat letak kereta di kediamannya hilang disyaki dicuri.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, hasil siasatan pengadu akhirnya mengaku telah membakar kenderaan tersebut.

“Pengadu telah menunjukkan tempat beliau membakar kenderaannya kepada pegawai penyiasat sekaligus menyelesaikan kes ini.

“Kejadian itu berpunca akibat tidak puas hati dengan rakan kongsi perniagaannya kerana hanya pengadu seorang yang membuat bayaran bulanan kereta tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lelaki berkenaan disiasat dibawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Difahamkan lelaki tersebut juga akan dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu.

Menerusi kenyataan sama, Nurulhuda juga mengingatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya membuat laporan palsu yang boleh berdepan hukuman penjara selama enam bulan atau denda tidak lebih RM2000 atau kedua-duanya.