KUALA LUMPUR: Seawal 5.30 pagi, para penyokong Datuk Seri Najib Razak sudah berada di luar pagar bagi menantikan kehadiran beliau ke Mahkamah Tinggi KL hari ini.
Malaysia Bangkit yang turut bersama pengamal media lain juga menyaksikan kegigihan para penyokong ‘Bossku’ dari serata negeri untuk memberi sokongan kepada beliau.
Tertera poster dan ‘banner’ bertulis Solidariti untuk ‘Bossku’ dan Bebaskan Najib Razak yang dibentangkan oleh lebih 200 penyokong beliau yang dikhabarkan datang dengan empat buah bas.
Antara mereka, Mazianor Jaffar, 69, menyatakan kerinduan terhadap Najib, yang dianggapnya sebagai pemimpin mesra rakyat.
“Dari kelmarin, kami sudah bersiap untuk datang. Jasa Najib sukar dilupakan. Seorang makcik seperti saya pun mengenang budi baiknya,” katanya.
Selain itu, Ayah Kar, 68, menahan sebak dan berharap agar keadilan diberikan kepada Najib.
“Najib telah banyak berbakti kepada pekan, dari pembinaan universiti hingga kem tentera dan kilang-kilang.”
“Kami sangat sedih melihat keadaan ini. Doakan agar beliau dibebaskan,” ujarnya.
Untuk info, empat buah bas dan puluhan kereta daripada penduduk Felda Chini, Pekan hadir bersolidariti terhadap Najib.
Nasib Najib sama ada diperintah dibebaskan atau diperintah membela diri atas empat kes salah guna kedudukan untuk mendapatkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram sebanyak RM2.3 bilion, akan diketahui hari ini.