Bapa tinggal anak sendirian, kanak-kanak 4 tahun maut jatuh dari tingkat 29

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 29 di sebuah kondominium di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, mangsa ditinggalkan bersendirian di rumah oleh bapanya dalam keadaan pintu berkunci ketika keluar membeli barang.

“Siasatan mendapati mangsa telah ditinggalkan bersendirian tanpa pengawasan di rumah oleh bapanya dalam keadaan pintu berkunci kerana telah keluar untuk membeli barang.

“Apabila bapa mangsa pulang ke rumah, mendapati anaknya telah tiada.

“Mangsa telah ditemui oleh salah seorang kakitangan pengurusan di kawasan koridor tingkat 8 dalam keadaan tidak bernyawa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Siasatan lanjut turut mendapati tingkap di bilik mangsa dalam keadaan terbuka selain terdapat kerusi di kawasan tersebut.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan hospital.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk tujuan bedah siasat.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.