Bapa positif Covid nekad terjun bangunan, anak 15 tahun jadi yatim piatu



SITUASI pandemik COVID-19 yang melanda cukup menguji kehidupan seseorang sejak kebelakangan ini membuatkan ramai yang memilih jalan pintas membunuh diri.

Terbaharu, seorang lelaki berusia 54 tahun yang juga bapa kepada seorang remaja berusia 15 tahun nekad terjun dari tingkat 15.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, insiden itu berlaku di Blok Pandan Ria, Ampang pada jam 8.25 pagi hari ini

“Mangsa merupakan warga tempatan yang sebelum ini kerja sebagai pemandu lori.

“Mayat mangsa telah dibawa ke HUKM untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Difahamkan, mangsa juga merupakan pesakit positif COVID-19 hasil bedah siasat yang dijalankan.

Sementara itu, anak tunggalnya turut memaklumkan, ibunya juga telah meninggal dunia akibat bertarung nyawa dengan virus pembunuh itu.

Polis menegaskan insiden yang berlaku tiada melibatkan sebarang unsur jenayah.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Justeru, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian.

Apa yang penting ketika ini, masyarakat turut memainkan peranan penting dalam memantau keadaan sekeliling bagi memastikan tiada pihak yang terlalu tertekan hingga memilih jalan mudah dengan mengorbankan nyawa.