Bapa durjana dihukum penjara 1,050 tahun, 24 sebatan

Derita seorang remaja perempuan berusia 13 tahun berakhir apabila bapa tirinya dijatuhkan hukuman penjara selama 1,050 tahun serta 24 sebatan akibat merogol anaknya sejak tahun 2018 hingga 24 Februari 2020.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, perbuatan terkutuk itu dilakukan setiap kali ibu mangsa keluar bekerja.

“Suspek merogol mangsa secara paksa dan apabila mangsa melawan suspek terus bertindak memukul mangsa.

“Kali terakhir suspek melakukan perbuatan itu adalah pada 24 Februari 2020 sebelum melarikan diri,” katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Suspek berusia 33 tahun yang juga disenarai hitam oleh pihak polis bagaimanapun berjaya ditahan pada 20 Januari lalu di kawasan Petaling Jaya sekitar jam 5.20 petang.

Hasil siasatan polis mendapati suspek mempunyai rekod enam rekod jenayah lampau melibatkan tiga kes dadah dan tiga lagi kes jenayah harta benda dan kekerasan.

Suspek telah mengaku bersalah terhadap kesemua 105 pertuduhan yang dibicarakan di Mahkamah Klang pada Rabu.

Sebelum ini, polis Petaling Jaya telah menerima laporan daripada remaja berkenaan pada 2 Mac 2020 yang mendakwa dirogol bapa tirinya sejak tahun 2018 di kediaman mereka di Sungai Way, Petaling Jaya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan.