Bakal pengantin dituduh cuba perkosa, cabul housemate tunang

SEORANG pekerja pembersihan yang bakal berkahwin Mac tahun depan didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka hari ini atas pertuduhan cuba merogol dan mencabul rakan serumah tunangnya serta menceroboh sebuah kediaman di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, pada minggu lalu, lapor Kosmo!

Tertuduh, Amirul Hanif Ibrahim, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah cuba merogol seorang perempuan berusia 23 tahun dan didakwa mengikut Seksyen 376/511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama dengan niat hendak mencabul kehormatannya dan didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Amirul Hanif juga berdepan dengan pertuduhan telah melakukan pencerobohan jenayah tanpa mendapat kebenaran daripada tuan rumah, yang digunakan sebagai kediaman.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Sekyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda sehingga RM5, 000 atau kedua-duanya sekali.

Ketiga-tiga tindakan itu dilakukan tertuduh pada pukul 10.53 pagi di sebuah rumah di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh di sini pada 17 November lalu.

Difahamkan, tertuduh telah bertunang dan akan melangsungkan perkahwinan pada Mac tahun depan, manakala mangsa merupakan teman serumah tunangnya.

Kejadian dikatakan berlaku ketika tunangnya tiada di rumah, namun lelaki itu telah memasuki rumah tersebut menggunakan kunci pendua dan menunggu mangsa yang kemudiannya telah pulang ke rumah.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shukri Hussain tidak mencadangkan sebarang jaminan.

Peguam Ahmad Soleh Yusof yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jaminan rendah diberikan dengan alasan tertuduh akan memberikan kerjasama dan hadir sepanjang prosiding, selain jaminan akan dibayar oleh adiknya yang bekerja sebagai penghantar makanan.

Elesabet kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10, 000 dengan jaminan akan dibayar oleh adiknya, selain syarat tambahan melaporkan diri di balai polis terdekat satu kali setiap bulan serta tidak menghampiri atau menganggu mangsa sehingga kes selesai.

Beliau turut menetapkan tarikh 24 Disember depan untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes.

Sumber: Kosmo!