Anwar Ibrahim ‘konfiden’ jadi PM

PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baharu dalam masa terdekat.

Dalam satu sidang media tergempar di Kuala Lumpur hari ini, beliau menegaskan pada saat ini kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh.

“Dengan sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan, bermakna pada saat ini kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh,” katanya disambut tepukan, sorakan dan laungan ‘reformasi’ daripada penyokongnya.

Anwar Ibrahim adakan majlis sidang media tergempar.

Tambah beliau, maklumat dan langkah selanjutnya akan dimaklumkan selepas beliau bertemu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam masa terdekat.

Ditanya sama ada beliau mendapat sokongan Tun Dr. Mahathir Mohamad, Anwar menjelaskan: “Belum lagi. Dia mungkin akan membuat keputusan kemudian.”

Dalam pada itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin mengesahkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak tumbang.

Katanya, hal itu disahkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung hari ini.

“Baru selesai mesyuarat Jemaah Menteri. Tidak ada apa-apa yang tumbang atau jatuh,” katanya menerusi ciapan Twitternya di sini hari ini.

Ini bukanlah kali pertama Anwar membuat dakwaan sedemikian, pada 2008, presiden PKR itu pernah mengumumkan mempunyai cukup sokongan untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Bagaimanapun, BN terus berkuasa dan Datuk Seri Najib Tun Razak menggantikan Abdullah sebagai Perdana Menteri pada 2009.

Sumber: Astro Awani