Home Berita Semasa Anggota polis trafik pula yang mabuk, pandu lawan arus!

Anggota polis trafik pula yang mabuk, pandu lawan arus!

Sebelum ini, media beberapa kali melaporkan berhubung insiden pemandu mabuk dan melawan arus yang berlaku di beberapa kawasan.

Namun sedikit kelainan pada kali ini apabila ia melibatkan anggota polis trafik berusia 25 tahun dalam kejadian jam 12.30 malam tadi di Jalan Lingkaran Dalam, Johor.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, pihaknya menerima satu rakaman video menyaksikan sebuah kenderaan yang dipandu secara merbahaya di laluan songsang.

“Lelaki yang juga anggota polis trafik Johor Bahru ditahan di stesen minyak Lingkaran Dalam yang disyaki di bawah pengaruh alkohol.

“Siasatan mendapati anggota ini tidak bertugas ketika kejadian dan memandu kenderaan persendirian,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Tegas Ayob, pihaknya tidak akan sesekali berkompromi selain akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai dan anggota polis yang melanggar undang-undang.

Suspek disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menerusi rakaman video berdurasi satu minit 36 saat yang tular di media sosial itu menyaksikan sebuah kereta Perodua Axia dipandu secara melawan arus.

Kenderaan tersebut turut memperlihatkan lampu kecemasan dibuka dan berhenti di tengah jalan sebelum bertindak membuat pusingan U.

Exit mobile version