POLIS mengeluarkan sebanyak 306 notis saman serta menahan seramai tiga individu dalam operasi Ambang Merdeka yang berakhir awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, operasi dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dan juga Lebuhraya DUKE.
“Kesemua tangkapan berusia 17 hingga 20 tahun dan akan dituduh di mahkamah atas kesalahan memandu secara merbahaya serta mengganggu pengguna jalan raya lain.
“Polis turut menyita 8 buah motosikal atas kesalahan ubah struktur kenderaan (ekzos),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Sarifudin memberitahu kesemua motosikal yang disita akan melalui pemeriksaan JPJ sebelum ia diarah tukar kepada struktur asal terhadap pemiliknya.
Tegasnya, operasi tidak hanya tertumpu pada hari Ambang Kemerdekaan malah akan diteruskan secara rambang bagi memastikan jenayah di jalan raya terkawal.