Amah derita hidup dengan majikan zalim

SEORANG pembantu rumah hidup dalam keadaan tertekan apabila sering menjadi mangsa dera oleh majikannya.

Bukan hanya dipukul, malah turut dicubit serta disimbah air panas.

Ibu bersama anaknya, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas pertuduhan kekerasan terhadap pembantu rumah wanita warga Kemboja Februari lalu.

Tertuduh Teoh Beng Sim, 56, dan anaknya Teh Hooi Fung, 36, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.
Mengikut pertuduhan, kesalahan itu dilakukan terhadap Soy Rom, 27 tahun dengan cara kekerasan.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di No 20, Jalan Perpaduan, Kampung Baru, Bukit Mertajam pada jam 10.45 malam 24 Februari lepas.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dipenjara tiga sehingga 20 tahun dan denda.

Pendakwaan di kendalikan Timbalan Pendakwaraya Muhamad Syeqal Che Murat manakala tertuduh diwakili peguam,Datuk Supramaniam Kasia Pillai.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh di ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 April depan untuk sebutan semula kes.

Pada 24 Februari lalu, seorang pembantu rumah warga Kemboja berjaya diselamatkan pihak polis dipercayai didera hasil aduan awam.

Hasil pemeriksaan terhadap mangsa telah menemui beberapa kecederaan fizikal termasuk di bahagian muka, kesan lecur di tangan, serta beberapa kesan luka jahitan.