Ali Puteh diarah bayar RM60,000, aibkan balu arwah Abam Bocey

PESERTA program realiti Maharaja Lawak Ali Puteh diarah membayar RM60,000 kepada balu Allahyarham Abam Bocey selepas didapati bersalah mengaibkan Siti Nor Hidayah Mohd Ali di media sosial dua tahun lalu.

Hakim, Zulqarnain Hassan memerintahkan demikian selepas membenarkan tuntutan balas yang dikemukakan Siti Nor Hidayah selaku plaintif terhadap Ali Puteh atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan selaku defendan.

Kes berkenaan membabitkan hantaran di media sosial yang bertajuk ‘Bile balu arwah abam berhati binatang!!!’, pada dua tahun lalu.

Sebelum ini, Siti Nor Hidayah telah memfailkan saman terhadap Ali Puteh berhubung kenyataan mengaibkan itu terhadap dirinya yang menggambarkan dia seolah-olah tidak bertanggungjawab.

Mahkamah selain itu turut menolak saman fitnah yang dikemukakan Ali Puteh dan tiga ahli keluarganya lain terhadap Siti Nor Hidayah dan usahawan kosmetik Datuk Aliff Syukri dengan kos sebanyak RM13,000.

Dalam prosiding hari ini, Ali Puteh diwakili peguam, Noorazmir Zakaria manakala Nor Hidayah diwakili peguam Mohamed Ibrahim Mohamad manakala Alif Syukri diwakili peguam, Hasshahari Johari Mawi.

Kemelut antara kedua-dua individu itu tercetus selepas kematian Abam Bocey atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan pada 10 Februari 2020 akibat demam panas.