Alami kesejukan melampau di Gunung Kinabalu, pendaki wanita dipikul turun

SEORANG wanita terpaksa diselamatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) selepas mengalami kesejukan melampau di Kilometer 7.2, semalam

Wanita berusia 24 tahun terbabit dilaporkan mengalami kesukaran dan memerlukan bantuan untuk dibawa turun dari puncak pada pukul 9.30 pagi, lapor Berita Harian.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10 pagi.

Susulan itu, sepasukan lapan anggota dan pegawai termasuk MOSAR serta malim gunung dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi mangsa ditemui pasukan MOSAR memberikan rawatan awal bagi memastikan mangsa dalam keadaan stabil dan selamat.

“Mangsa seterusnya dibawa turun ke Panalaban menggunakan teknik ‘Piggy Back Carry’ oleh pasukan penyelamat,” katanya kepad Berita Harian.

Menurutnya, sebaik tiba di Panalaban, mangsa yang beransur pulih memilih untuk berjalan tanpa bantuan MOSAR hingga ke Timpohon Gate.

Mangsa tidak memerlukan bantuan EMRS atau ambulans dan operasi ditamatkan pada 3.10 petang selepas tiada lagi kemerbahayaan lain.

Sumber: Berita Harian