Aksi bahaya kanak-kanak, polis selesai jalankan siasatan

POLIS selesai menjalankan siasatan berhubung kes tiga kanak-kanak melakukan aksi berbahaya dengan mengeluarkan separuh badan dari dalam kereta yang sedang bergerak di Tambun, bulan lalu.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, kes berkenaan telah dirujuk kepada pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan telah selesai dijalankan dan kita telahpun merujuk kertas siasatan kepada pihak Yang Arif Timbalan Pendakwa Raya ataupun Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) untuk arahan lanjut.

“Jadi, bapa ataupun ibu bapa, kena lebih bertanggungjawab ke atas keselamatan anak, kerana dia benarkan anak-anak dia keluar tingkap dengan kereta yang laju dalam keadaan, ketiga-tiga orang anak, anak perempuan, saya rasa, keluar kepala melalui tingkap dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, bapa kepada tiga kanak-kanak berkenaan yang ditahan pada 25 Mac lalu, dibebaskan selepas ditahan reman dua hari untuk membantu siasatan.

Selain itu, siasatan terhadap lelaki berusia 37 tahun itu turut mempunyai 32 rekod kesalahan trafik.

Dalam masa sama, polis turut memanggil ketiga-tiga kanak-kanak berusia 4 hingga 8 tahun berkenaan untuk membantu siasatan.

Terdahulu, video tular berdurasi 62 saat itu menunjukkan aksi berbahaya tiga kanak-kanak dalam sebuah kereta dengan aksi keluar separuh badan dipercayai dirakam di Jalan Tambun.