Solat Jumaat bagi para lelaki hari ini di Rantau Panjang terpaksa digantikan dengan solat fardhu Zuhur berjemaah akibat jumlah makmum tidak mencukupi keraba paras banjir semakin meningkat.
Menurut laporan Berita Harian, Tinjauan melaporkan jemaah terpaksa meredah banjir setinggi hampir satu meter untuk ke masjid itu, malah ada yang mengambil inisiatif menggunakan perahu.
Kemudian, turut difahamkan, pihak masjid perlu menunggu kehadiran para jemaah selesai azan berkumandang. Namun hanya 24 makmum yang hadir waktu itu menyebabkan mereka terpaksa menunaikan solat Zuhur sahaja.
Sementara itu, Penduduk, Syed Alwi Syed Kuning, 71, berkata situasi tidak dapat mengerjakan solat Jumaat seumpama itu pernah berlaku kira-kira 10 tahun lalu, dan kejadian hari ini mungkin disebabkan kawasan berkenaan dinaiki air tinggi.
“Boleh dikatakan rumah semua jemaah dinaiki air kerana kampung di sini memang terletak di kawasan rendah.
“Antara kampung terbabit ialah Kampung Kubang Rambutan, Kampung Parit Air dan Kampung Kok Pauh.
“Hari ini, hanya 24 jemaah dapat hadir, termasuk beberapa anggota polis dan bomba yang bersama-sama menunaikan solat zuhur ketika bertugas meninjau keadaan banjir.
“Masjid ini boleh memuatkan hampir 1,000 jemaah tetapi akibat banjir, hanya beberapa orang dapat hadir,” katanya dipetik Berita Harian.
Tambah Mohd Yusuf Senik, 64, yang cedera akibat kemalangan, tetap bersemangat meredah banjir sejauh kira-kira 200 meter ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat.
“Bukan saja makmum terkandas akibat banjir, malah rumah imam dan bilal turut dinaiki air setinggi antara dua hingga tiga meter.
“Sebagai umat Islam, kita tetap berusaha menjalankan perintah-Nya selagi mampu.
Bagaimanapun, adakala keadaan sebegini tidak dapat kita elakkan,” katanya.