Air terjun Kota Tinggi ditutup buat sementara waktu

Kredit- JohorKini

Larangan mandi di Air Terjun Kota Tinggi atau Waterfall Kota Tinggi ditutup buat sementara waktu dan akan dibuka sehingga dimaklumkan kepada pengunjung dan orang ramai.

Menurut Pegawai Perhubungan Awam Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT), Mohd Fauzei Mohd Ali berkata, penutupan itu bermula 15 Disember 2019 sehingga akan dimaklumkan kelak.

Tambah beliau, kerja-kerja baik pulih yang telah dijalankan di sekitar kawasan Air Terjun Kota Tinggi selepas tragedi banjir yang melanda pusat rekreasi berkenaan lebih berjalan dengan lancar.

“Pihak kami tidak berani hendak ramal berapa lama kerja baik pulih berkenaan dapat disiapkan namun kita jangkakan mengambil masa dua atau tiga bulan.

“Lebih cepat lebih bagus kerana pelancong sudah mula datang ke Johor untuk Tahun Melawat Johor 2020 bermula 1 Januari ini,” katanya dipetik JohorKini.

Sementara itu, Mohd Fauzei berkata, MDKT mensasarkan separuh daripada jumlah kehadiran sasaran pelancong ditetapkan kerajaan negeri sempena Tahun Melawat Johor 2020 akan hadir ke daerah ini terutamanya ke Air Terjun Kota Tinggi.

“Sasaran kerajaan negeri adalah 5 juta, jadi kita sasar 1 juta datang di Air Terjun Kota Tinggi ini.

“Untuk makluman pada September lalu seramai 26,000 pengunjung telah datang ke kawasan ini. Bahkan sejak MDKT mengambil alih pusat ini pada Mac lalu seramai 150,000 telah datang ke Air Terjun Kota Tinggi.

“Dari segi penginapan di daerah ini tiada masalah untuk tampung kehadiran pelancong. Dalam kawasan MDKT terdapat 40 unit hotel dan 20 unit resort jadi soal penginapan tiada masalah,” katanya.