TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary tampil membuat permohonan maaf berikutan kenderaannya yang melanggar peraturan lalu lintas.
“Saya memohon ribuan kemaafan atas isu yang timbul. Semoga peristiwa ini memberi peluang untuk kami terus menjalankan tugas dengan penuh jujur dan berintegriti, demi rakyat Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook peribadinya.
Jelas Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu, beliau mengakui sebagai manusia biasa tidak lari dari kesilapan selain menyambut baik komen serta teguran yang diterima.
Dalam pada itu, beliau bersedia sekiranya tindakannya itu bakal berdepan dengan tindakan undang-undang.
Baru-baru ini, polis melaporkan sedang menjalankan siasatan berikutan laporan sebuah kenderaan mewah dipercayai milik seorang timbalan menteri dipandu dalam keadaan berbahaya.
Kejadian tersebut turut mencetuskan kemarahan orang ramai yang memberi reaksi negatif di ruangan komen di media sosial.
Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata pihaknya menyerahkan kuasa penuh kepada pihak berkuasa untuk mengambil sebarang tindakan.