Agak-agak PKP sambung? Esok la penentunya

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berkuatkuas di beberapa negeri bakal ditentukan esok selepas ia dibincangkan pada dalam mesyuarat Majlis Keselematan Negara (MKN) pada Isnin.

Menteri Kanan (Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia bergantung kepada Kementerian Kesihatan Malaysia berhubung penilaian risiko sama ada PKP diteruskan atau sebaliknya.

“Saya pasti pasukan KKM, Ketua Pengarah Kesihatan akan membentangkan penilaian risiko pada mesyuarat itu, kami akan bincangkan dan menilainya sebelum membuat keputusan.

“Keputusan untuk melanjutkan PKP itu juga berdasarkan kepada pengalaman dan data diperoleh sejak setahun lalu.

“Sebagai kerajaan yang telus dan bertanggungjawab, penjelasan akan diberikan kepada rakyat bagi setiap keputusan yang dibuat,” katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, pada Isnin.

Ujar Azmin Ali, keputusan sama ada PKP dilanjutkan atau tamat di beberapa negeri terlibat perlu diteliti berdasarkan bukti data dan sains.

Beliau turut memaklumkan, sebarang data yang terkumpul akan dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Alhamdulillah dengan sokongan rakyat dan banyak pihak memberikan pandangan, kita membuat keputusan yang baik setakat ini dan kita akan terus berbuat demikian, Insya-Allah akan diumumkan esok,” katanya.