ADUN Melor, Md Yusnan Yusof meninggal dunia

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Dr Md Yusnan Yusof meninggal dunia di kediamannya di Kota Bharu awal pagi tadi.

Allahyarham, 53, dipercayai mengalami serangan jantung sebelum menghembuskan nafas terakhir jam 2.28 pagi di kediamannya di Melor dan perkara itu disahkan oleh anak Allahyarham, Mohd Auzaie di laman Facebook.

Katanya, “Dukacita dimaklumkan bahawa baba, Dr Yusnan sudah pergi menghadap Ilahi jam 2.28 pagi”.

Menurut Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob, semenjak dilantik sebagai timbalan Exco pada tahun 2013, arwah sentiasa berusaha menggerakkan secara aktif Jawatankuasa Pengkajian Enakmen Negeri Kelantan dengan memfokuskan kepada usaha menyemak Enakmen-enakmen sedia ada dan mencadangkan beberapa Rang Undang-undang (RUU) untuk dibawa ke Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Bekas pembantu Professor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu pernah berkhidmat sebagai Pakar Pendidikan di Education Directorate, Islamic Educational, Scientific and Cultural Organization (ISESCO), Rabat, Morocco sebelum dilantik sebagai ADUN Melor sejak tahun 2013.

“Saya mewakili saf kepimpinan Kerajaan Negeri Kelantan dan PAS Kelantan merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham.

“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman,” katanya.

Sumber: Sinar Harian