SITUASI banjir yang melanda di ibu negara sejak beberapa hari lalu sudah tentu membimbangkan semua pihak terutama mereka yang berada di kawasan terjejas.
Namun lain pula ceritanya apabila bahasa ‘pasar’ yang digunakan admin laman sosial Facebook Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri ketika melaporkan paras bah di tiga kawasan pada petang Selasa menerima pelbagai reaksi netizen, lapor Astro AWANI.
Jelasnya, perkongsian laporan terkini banjir tersebut menggunakan ayat ‘air paras buku lali dan betis‘ itu telah dipadamkan.
“Salam sejahtera sahabat Media Sosial. Merujuk kepada perkongsian situasi trafik ketika banjir petang semalam, Admin ingin memohon maaf jika bahasa ‘pasar’ untuk ukuran aras air yang dikongsi adalah tidak bersesuaian.
“Ketika perkongsian dibuat, Admin merasakan laporan trafik yang diterima daripada lapangan adalah berguna, mudah difahami dan perlu dimaklum segera kepada awam berdasarkan situasi semasa.
“Admin ingin memohon maaf atas segala kesulitan dan ketidakselesaan serta akan berusaha untuk lebih berhati-hati di masa hadapan dalam perkongsian agar lebih mesra pengguna,” jelas Admin Facebook NADMA.
Terdahulu, tangkap layar laporan banjir terbabit tular di laman sosial dan menerima pelbagai pandangan dan kritikan pengguna media sosial.
Sumber: Astro AWANI