4 Beradik Usia 3 Ke 8 Tahun Maut, Rumah Terbakar Di Muar

EMPAT kanak-kanak maut dalam kebakaran sebuah rumah di Lorong Haji Muhammad, Kampung Sabak Awor di Muar, kira-kira 140 kilometer dari sini, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar, Timbalan Penguasa Bomba II Shahrizal Mokhtar berkata dua kanak-kanak perempuan masing-masing berumur empat dan enam tahun, serta dua kanak-kanak lelaki berumur tiga dan lapan tahun itu disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan di lokasi kejadian.

Beliau berkata sebaik tiba di tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.49 malam, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) mendapati 80 peratus daripada bangunan rumah jenis separuh kekal itu telahpun musnah dijilat api.

“Setelah api padam sepenuhnya PKO bertindak membuat pencarian mangsa dan semua kanak-kanak itu dijumpai di dalam bilik air rumah berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Bernama melaporkan, katanya semua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Shahrizal berkata operasi ditamatkan pada pukul 9.52 malam tadi.

Sumber gambar – JPBM | Sumber laporan – Bernama