28 orang ditahan! Positif dadah semasa parti liar di Genting Highland

SERAMAI 28 lelaki dan wanita yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah ditahan ketika mengadakan parti liar di sebuah banglo di Genting Highlands pada Selasa.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Yoosuf berkata, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong melakukan serbuan di rumah tersebut jam 4 petang selepas menerima maklumat awam, lapor Astro AWANI.

Jelasnya, kumpulan itu membabitkan 19 lelaki dan sembilan wanita tempatan berusia antara 26 hingga 48 tahun.

“Hasil siasatan serta ujian saringan air kencing ke atas semua suspek yang berkumpul di ruang tamu di banglo itu mendapati mereka positif dadah jenis ketamine dan amphetamine,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Katanya, semua suspek ditahan reman antara satu hingga dua hari bermula semalam untuk siasatan lanjut.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000.00 atau kedua-duanya sekali.

Sumber gambar – Freepik | Sumber laporan – Awani501