Dua rakyat Malaysia, Mohammed Farik Amin, 48, dan Mohammed Nazir Lep, 47, mengaku bersalah bersubahat dalam kejadian pengeboman Bali pada tahun 2002, semalam.
Kedua-dua mereka kini ditahan di Kem Tahanan Teluk Guantanamo di Cuba sejak 2006.
Menurut laporan The New York Times, Mohammed Farik dan Mohammed Nazir didakwa pada tahun 2021 iaitu 18 tahun selepas mereka ditahan di Thailand. Hukuman terhadap mereka akan dijatuhkan pada minggu depan.
Mereka ditahan selama bertahun-tahun dalam rangkaian penjara luar negara rahsia Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA).
Kemudian pada 2006, mereka dipindahkan ke Teluk Guantanamo untuk menghadapi perbicaraan di mahkamah khas keselamatan negara yang ditubuhkan bekas Presiden AS George W Bush selepas serangan 11 September.
Menurut laporan Al-Jazeera, Mohammed Farik dan Mohammed Nazir mengaku bersalah terhadap lima daripada sembilan pertuduhan terhadap mereka, dan ia adalah kali pertama mereka membuat pengakuan sejak mereka dibawa ke Guantanamo.
Turut didakwa adalah Encep Nurjaman, bekas pemimpin gerakan Jemaah Islamiyah dari Indonesia yang dikenali sebagai Hambali.
Bagaimanapun, pada Oktober lalu New York Times melaporkan Mohammed Farik dan Mohammed Nazir mencapai persetujuan dengan pendakwa raya di Teluk Guantanamo untuk tuduhan menjadi ‘aksesori’ kepada serangan pengganas di Bali, oleh itu kes berkenaan diasingkan daripada kes Hambali.
Hambali kini menghadapi pertuduhan membunuh, melakukan keganasan dan konspirasi dalam insiden pengeboman Bali 2002 dan serangan ke atas sebuah hotel di Jakarta pada 2003 dan jika disabitkan bersalah dia boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup.
Dalam pengakuan mengaku bersalah itu, Mohammed Farik dan Mohammed Nazir bersetuju untuk memberi keterangan terhadap Hambali.
Sumber : Harian Metro, Al Jazeera