PETALING JAYA: Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Haziq Azfar menegaskan bahawa kerajaan sepatutnya dapat menghapuskan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebelum tahun 2013, namun peluang itu terlepas akibat peningkatan hutang secara mendadak selepas tahun tersebut.
Kenyataan tersebut dikeluarkan sebagai respons kepada kritikan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh yang mempertikai usaha ke arah pendidikan percuma sebelum 2013.
“Kerajaan Persekutuan sekitar tahun 2013 mempunyai keupayaan untuk menghapuskan hutang PTPTN yang ketika itu berjumlah RM20 bilion,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Namun, beliau menjelaskan bahawa jumlah hutang kini telah meningkat kepada RM66.87 bilion, menjadikannya lebih sukar untuk dilangsaikan.
Haziq turut memetik kenyataan Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli yang sebelum ini menerangkan bahawa kerajaan boleh menggunakan kaedah ‘refinance’ bagi menguruskan hutang PTPTN pada waktu itu.
Namun, dengan peningkatan mendadak hutang selepas tahun 2013, pendidikan percuma tidak lagi dimasukkan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan PRU15.
Beliau juga menekankan beban hutang skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), di mana rakyat terpaksa menanggung pembayaran sebanyak RM39.74 bilion walaupun setelah pemulihan aset.
“Alangkah baiknya sekiranya puluhan bilion ringgit yang digunakan untuk membayar hutang 1MDB dapat disalurkan bagi meringankan beban pendidikan anak muda,” tambahnya.
Mengakhiri kenyataannya dengan nada sinis, Haziq berkata, “apa boleh buat, layan je lah,” merujuk kepada keadaan semasa yang memerlukan kerajaan dan rakyat untuk terus berhadapan dengan cabaran kewangan tersebut. – Shafira Aziz Malaysia Bangkit